Saturday, February 27, 2010

Maulidur Rasul Kembali Lagi



Kita kini sedang menyambut ketibaan bulan Rabiul Awwal yang telah mencatatkan peristiwa penting dalam sejarah Islam. Di mana apabila tibanya bulan Rabi’ulawwal setiap tahun, umat Islam di seluruh dunia sama-sama mengingati tarikh kelahiran junjungan besar nabi Muhammad S.A.W. Kelahiran dan kebangkitan junjungan besar nabi Muhammad S.A.W sebagai rasul akhir zaman telah membawa sinar bahagia kepada manusia dan rahmat kepada seluruh alam yang selama ini tenggelam dalam kejahilan dan hidup bermusuhan antara satu sama lain.
Maulidur Rasul

Yang kuat memerintah yang tidak berdaya, yang kaya memeras yang miskin, yang gagah menindas yang lemah, undang-undang terletak pada pandangan nafsu dan bukannya berdasarkan wahyu sehingga hidup manusia bercelaru hilang pedoman dan tempat rujukan untuk berlindung.

Sejarah telah mencatatkan kisah perjalanan pahit maung kehidupan Rasulullah S.A.W. di dalam tugasnya menyebarkan dakwah Islam yang mulia ini, baginda pernah dikeji, dihina, diugut, dibaling dengan batu sehingga berdarah, dipulau kaum keluarganya namun untuk meninggalkan amanah Allah ini tidak sekali-kali terlintas di dalam jiwanya.

Justeru, Rasulullah S.A.W. yang diutuskan kepada umat manusia sebagai penghulu segala rasul, wajib kita sama-sama mentaatinya, dengan erti kata melaksanakan segala perintahnya dan meninggalkan segala tegahannya. Mudah-mudahan kita beroleh kecemerlangan dan kegemilangan hidup di dunia dan di akhirat.

Firman Allah dalam surah al-Hasyr ayat 7:

Maksudnya : “Dan apa jua suruhan yang di bawa oleh Rasulullah kepada kamu maka ambillah akan ia serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat azab siksanya (bagi orang-orang yang melanggar perintahnya)”.

Melalui cacatan sejarah juga kita dapati bagaimana kehidupan Rasulullulah S.A.W. yang sentiasa dijaga dan dipelihara oleh Allah S.W.T. bagi menjamin dakwahnya diterima oleh masyarakat. Walaupun baginda hidup dalam suasana masyarakat jahiliah yang sesat bertuhankan nafsu, namun baginda tidak terlibat dengan penyembahan berhala, minum arak, berjudi, malah tidak pernah berhibur dengan hiburan yang melalaikan. Begitu juga, baginda bersifat amanah sehingga digelar "al-Amin" serta sentiasa menjaga pergaulan dan percakapannya.

Baginda Raslulllah S.A.W. turut dididik dengan ujian bagi mematangkan fikiran dan tindakannya, di mana sejak kecil lagi baginda menjadi yatim piatu dengan kewafatan ayahanda dan bonda yang tercinta. Penjagaan baginda yang yatim piatu diambil alih oleh datuk kesayangannya Abdul Mutalib, tetapi Allah S.W.T. sekali lagi menguji baginda dengan kematian datuknya ketika baginda berusia lapan tahun dan penjagaan baginda berpindah kepada bapa saudaranya Abu Talib. Cuba kita bayangkan?. Bagaimana nabi yang bakal melaksanakan tugas dakwah Islam yang begitu besar dan berat telah diuji dengan kehilangan ahli keluarga ketika usianya yang masih kecil. Tetapi Allah maha penentu segala-galanya, di mana setiap sesuatu yang berlaku mempunyai hikmatnya yang tersendiri. Ujian kewafatan ahli keluarga tercinta telah mendidik baginda sebagai seorang yang cepat matang dan tidak terlalu bergantung kepada orang lain.

Bersempena sambutan Maulidur Rasul yang diadakan saban tahun, marilah kita sama-sama menghayati dan mencontohi ketabahan serta kesungguhan baginda dan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam sehingga terpancar kecemerlangan dan kegemilangan Islam merentasi dunia timur dan barat.

Sebagai seorang pemimpin agong baginda Rasulullah S.A.W. mempunyai pandangan jauh dan akal fikiran yang tajam serta semangat juang yang tinggi, kekuatan rohani yang mendalam, tabah dan keberanian menempuh berbagai cabaran dan dugaan yang perlu kita contohi, sama ada di waktu penghijrahannya dari kota Makkah ke kota Madinah atau selepasnya. Oleh yang demikian, umat Islam pada hari ini hendaklah bangun membina kekuatan rohani seimbang dengan kekuatan akal dan jasmani seperti yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah S.A.W. dalam menyebar luas syiar Islam. Ini kerana setiap umat Islam pada hari ini adalah bertanggungjawab meninggikan dan mempertahankan agama Allah.

Di antara ciri-ciri dan sikap terpuji baginda Rasulullah S.A.W. yang perlu dicontohi :

1.Sebagai Ketua Keluarga Yang Mulia Dan Bertanggungjawab

Dalam kesibukan baginda sebagai pemimpin negara, sebagai pendakwah, ketua tentera dan pelbagai urusan lainya tetapi baginda tidak pernah melupakan soal membina keluarga yang harmoni. Bagaimana baginda menunjukkan kaedah yang berkesan untuk melahirkan sebuah rumahtangga Islam sejati yang berjaya melahirkan generasi Islam yang bertakwa. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Tahrim ayat 6 :

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

2.Sebagai Pemimpin Yang Bijaksana

Rasulullah S.A.W. merupakan seorang pemimpin yang ikhlas dalam memperjuangkan dan menegakkan syiar Islam. Peribadi baginda yang luhur, tidak ingin dipuji, tidak mementingkan diri sendiri, tidak mementingkan kebendaan serta mengejar pangkat dalam perjuangannya. Akhirnya baginda telah berjaya membentuk peribadi, masyarakat dan negara Islam yang unggul dan terbilang.

Amat sesuai baginda menjadi contoh teladan yang paling baik. Sabda baginda :

"
اِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الأَخْلاَقِ "

Maksudnya: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia ".

3.Memiliki Akhlak Yang Sempurna

Baginda diutuskan bersama akhlak yang sempurna sebagai asas panduan kepada setiap lapisan masyarakat. Hal ini dinyatakan oleh Allah S.W.T. di dalam al-Ahzab ayat 21 :

Maksudnya : “Demi sesungguhnya! Adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan memperingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

Seterusnya baginda terkenal dengan ketegasan dalam perjuangan mempertahan agama Allah tanpa rasa takut dan menolak sebarang bentuk tawaran keduniaan. Seandainya sifat seumpama ini dapat kita laksanakan pastinya Islam bertambah maju dan setiasa disegani kawan mahupun lawan.

Dalam membina masyarakat yang harmoni pula baginda menggariskan beberapa panduan antaranya menanamkan sifat berkasih sayang, tolong menolong, menjaga hak kejiranan dan sebagainya demi menjaga dan membentuk masyarakat sejahtera.

Inilah antara sifat-sifat dan ketabahan baginda Rasulullah S.A.W. di dalam menegakkan agama yang benar dan diredhai Allah S.W.T. Maka bersempena sambutan Maulidur Rasul yang kita sambut pada tahun ini hendaklah dilakukan dengan hati yang benar-benar insaf dan ikhlas serta berbeza dengan cara sambutan Maulidur Rasul yang pernah dilakukan oleh Abu Lahab yang terlalu gembira menyambut kelahiran baginda dengan sanggup memerdekakan hamba kesayangannya serta menyembelih 100 ekor unta tetapi akhirnya apabila baginda menyatakan tentang kenabiannya serta dakwah Islam yang dibawa oleh baginda maka dialah orang paling keras menentang baginda sehingga kisahnya dirakamkan dalam surah al-Masad.

Oleh itu, kita perlu sedar dan insaf sambutan yang kita raikan mestilah selari dengan apa yang diucapkan, jangan kita bersungguh-sungguh memuji akhlak Rasulullah S.A.W. Tetapi akhlak remaja kita terbiar semakin hari semakin liar, tidak terkawal dan terlalu mementingkan hiburan sehingga mengabaikan tuntutan agama. Begitu juga, jangan kita hanya memuji baginda yang mengharamkan arak, judi dan riba sedangkan di sekeliling kita arak, penagihan dadah, pil khayal, ubat batuk dan segala macam yang memabukkan semakin manjadi-jadi seakan-akan tidak ada penghujungnya.
اعوذ بالله من الشيطان الرجيم،

Maksudnya : Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (arab) yang ummyyin, seorang rasul (nabi Muhammad) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaannya), dan membersihkan mereka (daripada iktikad yang sesat), serta mengajarkan mereka kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hokum-hukum syari’at). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.”
( Surah al-Jumuah ayat : 2 )


Wednesday, February 17, 2010

As- Syahid Imam Hassan Al Banna Pejuang Haraki Ikhwan

Hasan al-Banna dilahirkan di Mesir pada awal abad 20 Masehi. Dalam suku pertama abad 20 Masehi ini dia telah melancarkan satu gerakan Islam yang besar, yang terkenal dengan nama “Ikhwanul Muslimin”. Hasan al-Banna dan Ikhwanul Muslimin adalah dua nama yang tidak dapat dipisahkan. Begitu bertenaga sekali gerakan tersebut sehingga pengaruhnya bukan saja merebak di Mesir, tetapi telah meresapi seluruh Dunia Arab. Gerakan Ikhwan telah mencetuskan kebangkitan Islam dan roh Islam di Dunia Arab.



Jika kita betul-betul hendak menghargai segala usaha beliau dan memahami peribadinya, maka perlulah kita mengenali suasana (keadaan) dan zaman ketika beliau dilahirkan, dibesarkan dan dididik. Disamping itu, kita juga perlu mengetahui cabaran-cabaran dalaman dan antarabangsa yang sedang mengancam Mesir ketika Imam Hasan al-Banna dilahirkan.


Kelahiran dan Pendidikan Imam Hasan Al Banna.

Imam Hasan Al-Banna adalah anak sulung di dalam keluarganya. Beliau dilahirkan di Mahmoodiah pada bulan Oktober, 1906 M. Takdir Allah telah menentukan tarikh kelahirannya itu supaya dapat mengisi kekosongan akibat kematian pemimpin Muslim Mesir yang berwibawa dan tercinta iaitu Mustafa Kamal. Mahmoodiah bersuasana kedesaan dan merupakan sebuah perkampungan petani. Para penduduknya menjalani kehidupan corak lama (tradisional). Keluarga Imam Hasan Al-Banna sangat 'alim dalam ilmu Islam dan Sejarah Islam. Keluarganya juga mengamalkan cara hidup Islam. Imam Hasan Al-Banna mendapat pendidikan awal daripada bapanya sendiri.Dalam usahanya menghafal Al-Quran, bapanya telah memberi banyak bantuan. Bapanya juga memberi galakan kepadanya untuk mempelajari ilmu Islam. Tidak lama kemudian, beliau dimasukkan ke sebuah sekolah bernama Madrasah Ar-Rasyad As-Diniyyah. Di sekolah ini beliau berguru dengan seorang ulamak terpelajar yang bernama Muhammad Zahran.

Apabila pengurusan sekolah tersebut bertukar tangan dan pengasasnya iaitu Syeikh Muhammad Zahran membuat kerja lain, maka Imam Hasan Al-Banna pun berpindah ke sekolah lain yang bernama Madrasah A’adadiyah. Tahap pengajian sekolah ini adalah lebih tinggi daripada sekolah rendah. Kerajaan Mesir menghapuskan sistem pengajian sekolah A'adadiyah dan menyerahkannya kepada Kementerian Pelajaran. Kini cuma ada dua pilihan saja bagi Hasan Al-Banna. Salah satu daripada pilihan itu ialah memasuki Maahad-i-Dini; iaitu sebuah pusat.pengajian yang berhubung terus dengan Universiti Al-Azhar. Langkah ini boleh menjadikannya salah seorang ulamak Al-Azhar. Pilihan yang satu lagi ialah memasuki Pusat Latihan Guru Damanhur untuk mendapat Ijazah Perguruan. Hasan Al-Banna memilih memasuki Pusat Latihan Guru Damanhur. Selepas itu tiga tahun berkursus di situ, beliau mendapat pangkat pertama di dalam peperiksaan. Selesai sahaja kursus perguruan tersebut, beliau telah ditawarkan jawatan guru oleh Pejabat Pelajaran Daerah tetapi beliau memilih untuk menyambung pengajiannya ke peringkat yang lebih tinggi iaitu ke Universiti Kaherah (Darul Ulum). Ketika itu beliau berusia 16 tahun. Mengikut peraturan, beliau tidak layak memasuki Universiti itu (yakni tidak layak dari segi umur) tetapi peraturan itu dilonggarkan kerana bakat dan keilmuannya yang luar biasa itu. Waktu itu, Darul Ulum terkenal dengan gelaran 'Al-Azhar kecil'. Di sini kursus di beri dengan cara atau kaedah moden. Diantara kursus-kursus yang disediakan ialah Perguruan, Saikologi, Falsafah, Politik,Ilmu Kemasyarakatan, Matematik dan Ilmu Bahasa. Sebaik sahaja diterima masuk, Imam Hasan Al-Banna dan keluarganya pun berpindah ke Kaherah.



Pada bulan Julai, 1927 M., Imam Hasan Al-Banna lulus peperiksaan diplomanya dari Darul Ulum (kini terkenal dengan Universiti Kaherah) dengan mendapat pangkat pertama. Hasan Al-Banna membahagikan masanya itu ditumpukan kepada pengajiannya dan sebahagian lagi dihabiskan untuk dakwah Islamiah dan membantu bapanya membaiki jam. Setelah beliau menamatkan pengajiannya, beliau terpaksa pula membuat pilihan sama ada beliau patut mengambil biasiswa luar negeri dan meneruskan pengajiannya ke peringkat yang lebih tinggi ataupun bekerja dengan Jabatan Pelajaran sebagai seorang guru. Jika beliau bekerja dengan Jabatan Pelajaran, beliau akan mengajar kanak-kanak pada siang hari dan masa lapangnya pula akan dihabiskan untuk.mengajar ibu bapa mereka. Kemudian, Darul Ulum mengumumkan bahawa Biasiswa luar negeri tidak akan ditawarkan kepada mana-mana pelajar kerana negara Mesir sedang mengalami kekurangan guru waktu itu. Selepas pengumuman tersebut, beliau tidak ada pilihan lain kecuali menjadi guru. Apabila beliau mula bertugas sebagai guru di sekolah kerajaan, umurnya baru menjangkau dua puluh satu tahun. Beliau tinggal di Ismailiah schingga tahun 1933 M.



Tugas Hasan Al-Banna Sebagal Seorang Guru dan Peristiwa Penubuhan Al-Ikhwanul Muslimin.



Imam Hasan Al-Banna tiba di Ismailiah pada tahun 1927 untuk memulakan tugasnya sebagai seorang guru. Beliau menggunakan masa lapangnya untuk mengkaji dengan teliti corak hidup masyarakat Ismailiah agar usaha dakwahnya dapat dilancarkan dengan lebih berkesan. Imam Hasan Al-Banna berusaha untuk menjadi seorang guru yang baik dan juga seorang pendakwah yang berjaya. Beliau memulakan usaha dakwahnya di kedai-kedai makan dan kedai-kedai kopi dan bukannya di masjid. Dalam masa yang singkat sahaja, ramai telah menjadi pengikutnya. Dalam bulan Mac, 1928 M., enam orang penting telah berkumpul di rumah Imam Hasan Al-Banna. Mereka telah bersumpah untuk hidup dan mati kerana memperjuangkan Islam. Perjuangan mengejut ini telah menghasilkan satu pertubuhan yang terkenal dengan nama ‘Al-Ikhwan Muslimin’.

Batu asas pusat gerakan dan masjid Ikhwan Muslimin telah diletakkan di Ismailiah pada tahun 1929 M. Selepas itu, cawangannya dibuka di kawasan Suez dan Iskandariah. Semenjak itu, Ikhwanul Muslimin pun berkembang dengan pesat menuju ke matlamatnya.Pada bulan Oktober, 1933 M. Imam Hasan Al-Banna telah ditukarkan ke Kaherah. Tempoh enam tahun yang dihabiskan di Ismailiah merupakan titik permulaan keberkesanan gerakan Ikhwanul Muslimin pada masa depan. Ketika itu, ada satu pertubuhan dakwah di Kaherah yang terkenal dengan nama ‘Jami’atu- Tahzib-al-Islami’. Pertubuhan ini terdiri daripada belia-belia yang ikhlas terhadap Islam. Para belia ini sangat tertarik dengan kegigihan Ikhwan memperjuangkan Islam sehingga akhirnya mereka turut menjadi ahli Ikhwan agar mereka juga melibatkan diri dalam kegiatannya.


Berikutan itu, pertubuhan Jami’atu-Tahzib-al-Islami dan kesemua cawangan-cawangannya telah diserapkan ke dalam pertubuhan Ikhwanul Muslimin. Apabila Imam Hasan Al-Banna melawat Kaherah dalam tahun 1933 M., beliau dapati usaha Ikhwanul Muslimin di situ telah mencapai kemajuan yang pesat. Lantaran itu, beliau terpaksa meninggalkan jawatan gurunya dan memberi penumpuan sepenuh masa kepada Gerakan Ikhwanul Muslimin.



Perkahwinan Hasan Al Banna dan Anak-anaknya.

Hasan Al-Banna sangat disayangi oleh para penduduk Ismailiah. Kehadirannya itu telah menyirami hati mereka dengan kesedaran rohani. Haji Hussin as-Soli adalah seorang yang berperibadi mulia dan beliau sangat tertarik dengan peribadi Hasan Al-Banna serta kegiatannya. Hubungan antara Haji Hussin as-Soli dan Hasan Al-Banna begitu rapat dan kukuh sekali. Haji Hussin membantu Hasan Al-Banna dengan berbagai cara. Anak-anak lelakinya menjadi pengikut Hasan Al-Banna. Hubungan ini menjadi semakin kuat dari sehari ke sehari sehingga akhirnya Haji Hussin as-Soli mengambil Hasan Al-Banna sebagai menantunya. Latifah, anak perempuan Haji Hussin as-Soli, menjadi isteri Imam Hasan Al-Banna. Latifah juga seorang wanita yang berakhlak mulia dan bertakwa. Perkahwinan ini bertepatan dengan ayat Al-Quran yang bermaksud:

... dan wanita wanita yang baik adalah untuk laki laki yang baik dan laki laki

yang baik adalah untuk wanita wanita yang baik (pula).

(Surah An-Nur, ayat 26.)

Latifah sangat setia kepada suaminya dalam berbagai keadaan. Perkongsian hidup mereka telah menghasilkan enam orang anak iaitu lima orang perempuan dan seorang lelaki. Kelima orang anak perempuan mereka bernama Sana’a, Wafaa, Raja’a, Hajir dan Istisy’had. Anak perempuan yang bongsu itu dinamakan Istisy’had oleh Latifah kerana beliau dilahirkan dihari Imam Hasan Al-Banna mati syahid. dibunuh.


Imam Hasan Al-Banna mati syahid pada 15hb Februari 1949 di hadapan ibu pejabat Ikhwanul Muslimin. Hari kematiannya disambut meriah oleh Yahudi, pihak British dan pihak-pihak lain yang bermusuh dengan Islam.

TERUSKAN PERJUANGAN WAHAI SAHABAT SEKALIAN !